Ucapan Tuhan dan Ucapan Manusia

Ayat-ayat al-Quran adalah kata-kata Allah. Allah boleh berkata apa sahaja mengikut kehendak dan kuasa-Nya. Kata-kata itu termasuk memperli, menyindir, mengutuk, menghina dan melabel kepada orang ingkar pada perintah-Nya. 

Jadi, seluruh al-Quran melainkan dialog-dialog manusia, malaikat, jin dan binatang adalah kata-kata Tuhan. Manusia tidak boleh menggunakan struktur ayat, susunan ayat, kalimah, analogi daripada kata-kata Allah bagi menerangkan tentang kelompok yang ingkar kepada Allah.

Cara untuk menerangkan tentang kelompok yang ingkar kepada Allah dan memberitahu tentang ciri-ciri orang tidak mengikut Islam adalah berdasarkan struktur ayat, susunan ayat, kalimah dan analogi daripada Nabi Muhammad. 


Apabila Nabi Muhammad membacakan ayat-ayat al-Quran, semua orang tahu bahawa itu adalah kata-kata Allah, bukan kata-kata Nabi Muhammad seorang manusia. 

Walaupun Allah mengutuk dan menyumpah Abu Lahab dalam Surah al-Masad, Nabi Muhammad tidak pula mengutuk mengata juga Abu Lahab itu dengan ucapan yang sama.

Di dalam al-Quran, banyak mengandungi ayat menyeru seperti 'Wahai orang beriman', 'Wahai semua manusia' dan sebagainya. 

Dalam ucapan Nabi Muhammad, jarang sekali Nabi Muhammad mengucapkan ungkapan menyeru sebegini, ada ketika Nabi Muhammad menyeru dengan ucapan, 'Wahai pemuda-pemuda'. 

Apabila diteliti pada data hadith, ucapan sebegini jarang diucapkan oleh Nabi Muhammad.